Saturday 7 January 2012



 
Walaupun 2011 belum berakhir, syarikat rakaman Panggau Buluh Pengerindu (PBP) telah mengorak langkah separuh jalan dengan melahirkan album Gawai Dayak bagi tahun 2012. Tanggal 27 dan 28 Disember 2011 lepas, seramai 12 artis yang bernaung di bawah PBP telah menjalani penggambaran klip video album Gawai terbabit, yang dijadual berada di pasaran sekitar bulan April nanti.

Kali ini, lokasi yang menjadi pilihan bagi penggambaran klip video itu ialah Rumah Saing di Tanjung Bekakap, Batang Lebaan, kira-kira 45 minit perjalanan menggunakan jalan darat dari Sibu. Menurut pengurus PBP merangkap penyanyi, pengarah dan penerbit album Gawai Dayak 2012, Embat Lala, album Gawai kali ini melibat 14 artis PBP termasuk beliau sendiri. Artis terbabit ialah Melissa Francis, Hailey, Toddy, Lazarus, Baby Daisy, Bujang Lemanak serta Philip Jabu. Turut serta ialah empat artis baru iaitu Olive Dennis, Zukiladi, Richard Thias dan Hazel.

Wendy bagaimanapun tidak turut serta menjalani penggambaran atas sebab-sebab tertentu, manakal Masterpiece pula telah siap dengan video mereka. "Kesemua ada 18 buah lagu Gawai kecuali Masterpiece yang akan menampilkan single baru mereka berjudul 'Badu'," ujarnya kepada Utusan Borneo semasa penggambaran klip video album Gawai tersebut, baru-baru ini.

Menurut Embat Lala lagi, lagu-lagu terbabit akan diterbitkan dalam dua album Gawai Dayak 2012 iaitu Gawai Dayak 2012 Batang Lebaan dan Gawai Dayak 2012 Batang Lemanak. "Memandangkan artis yang terlibat pada tahun ini seramai 14 orang, kita membahagikan mereka kepada 2 kumpulan iaitu Kumpulan A (Batang Lebaan) dan Kumpulan B (Batang Lemanak). "Bagaimanapun kesemua penggambaran dilakukan di Rumah Saing di Tanjung Bekakap, Batang Lebaan," katanya sambil menambah album itu dinamakan sedemikian untuk mengingati tempat penggambaran itu dilakukan, selain Batang Lemanak tempat kelahiran beliau.

Kebanyakan lagu dihasilkan Richard Thias, yang mempunyai bakat besar menghasilkan lagu, manakala tiga buah lagu oleh Embat Lala dan sebuah lagi lagu oleh Masterpiece. Penggambaran klip video dibuat di tempat-tempat menarik di sekitar rumah panjang terbabit, selain turut menampilkan pelbagai adat dan kebudayaan kaum Iban seperti adat menyambut tetamu, miring, berbiau dan sebagainya.

Di samping itu menurut Embat Lala, turut diselitkan ialah pelbagai acara sukaneka, yang perlu dilihat oleh genenarasi muda kaum Iban pada hari ini,terutama bagi mendidik berhubung apa yang boleh dilakukan semasa menyambut hari Gawai.

"Jangan hanya minum minuman keras sahaja semasa Gawai. Sukaneka ini merupakan satu cara untuk merapatkan hubungan antara satu sama lain dan juga dengan tetamu yang hadir," katanya sambil memberitahu semua acara sukaneka itu akan diselitkan antara klip video lagu-lagu Gawai.

Dijangka berada di pasaran April tahun 2012, Embat Lala mensasarkan jualan kedua-dua album Gawai itu tidak kurang 30,000 unit, iaitu 15,000 unit bagi setiap album."Dengan sokongan semua artis, kru dan popuariti semua penyanyi , disamping sokongan semua penduduk rumah panjang, sasaran itu pasti dapat dicapai. "Kita juga mempunyai masa dua bulan bagi memasarkan album ini nanti," katanya sambil menambah album Gawai itu juga mempunyai 'tuah' yang tersendiri.

Ini katanya, berbeza dengan album Gawai 2011 yang hanya dipasarkan tiga minggu sebelum Gawai Dayak namun album terbabit masih mencatatkan jualan yang baik iaitu mencecah 12,000 unit.

Source: Utusan Borneo (31 Disember 2011)